Sunday, June 20, 2010

Artikel: Derita terpedaya

KEBELAKANGAN ini kita sering membaca laporan akhbar dan dakwaan individu yang tampil sebagai ‘pakar kesihatan lelaki’.

Mereka yang tidak bertauliah ini mendakwa menghasilkan pelbagai pendekatan dan teknik yang tidak pernah diuji, kononnya dapat membantu lelaki tanpa menjalani pemeriksaan betul.

Peliknya pula, ramai lelaki sangat mempercayainya dan mendapatkan ‘rawatan’ daripada ‘pakar’ terbabit tetapi akhirnya terpaksa menanggung derita akibat amalan dan penggunaan produk tanpa preskripsi serta tidak tentu keberkesanannya.

‘Doktor’ karut ini juga mempunyai laman web yang mempamerkan barangan mereka dengan memasukkan maklumat dan nota yang diceduk daripada laman web profesional untuk menipu pelanggan.

Jadi tidak hairan jika produk yang bukan-bukan seperti minyak lintah, krim lintah, pam vakum dan segala cincin penambat zakar pelbagai bentuk dan nama diketengahkan sebagai produk profesional.

Malangnya, semua produk ini tidak pernah dikaji atau diuji secara klinikal sebelum dijual. Ada juga sebilangan pengeluar produk tanpa ujian ini mengiklankan produk mereka di televisyen (TV).

Saya beri penjelasan yang panjang lebar ini kerana seorang pembaca mengadu ada masalah mempunyai tiga buah zakar iaitu dua bercantum sebelah kanan dan sebiji sebelah kiri dengan semuanya sama saiz.

Dia juga mengalami masalah zakar tertarik ke dalam dan cuba menggunakan sensa pump, tetapi gagal. Saya percaya dia kena tipu kerana membeli pam untuk menyelesaikan masalahnya.

Apa tujuan dia membeli pam juga tidak jelas. Pam vakum hanya untuk lelaki yang mengalami masalah disfungsi erektil atau mati pucuk, bukan untuk membesarkan zakar atau untuk senaman zakar.

Kegunaan pam vakum satu ketika dulu ialah untuk lelaki yang mengalami mati pucuk, tetapi kini ada banyak opsyen lain yang lebih sesuai seperti ubat PDE5-Inhibitor antaranya Viagra, Cialis dan Levitra.

Pam vakum hanya digunakan apabila tiada opsyen lain. Jadi waktu hendak bersama, baru pam vakum digunakan untuk menyedut darah ke dalam liang otot zakar dan apabila ereksi berlaku, getah penambat dilepaskan ke pangkal zakar supaya ereksi kekal dan lelaki itu boleh melakukan seks penetratif dengan pasangan.

Penambatan zakar tidak boleh melebihi setengah jam, jika lebih, zakar jadi sejuk dan lebam. Malah jika tekanan pam dilakukan secara kuat, kulit zakar boleh gelembung.

Lelaki yang kerap menggunakan pam vakum untuk ‘senaman’ akan dapati kulit zakar gelebeh dan berwarna gelap dan zakar akan kelihatan kendur.

Sebenarnya pam vakum ini banyak disalahgunakan, terutama untuk tujuan membesarkan anggota sulit. Malangnya, alat ini tidak membesarkan anggota sulit lelaki dan ia perbuatan sia-sia yang boleh merosakkan zakar.

Banyak lelaki sedar yang mereka hanya ada sepasang buah zakar dalam kerandut. Ada juga sebilangan kecil lelaki yang hanya mempunyai satu buah zakar dalam kerandut dan paling jarang sekali, tiada buah zakar.

Buah zakar mereka sebenarnya tersangkut dalam perut pada peringkat kanak-kanak lagi. Sepatutnya buah zakar itu diturunkan ke dalam kerandut buah zakar dari peringkat kanak-kanak lagi.

Namun dalam kes pembaca itu, dia ada ‘tiga’ buah zakar. Sebenarnya jika anda rasa buah zakar anda melalui pemeriksaan kendiri buah zakar, anda akan dapati pundi epididimis di sebelah buah zakar. Ia lembut dan ada terasa macam ketulan di bahagian bawah.

Ini normal, jarang kali ada cista di pundi epididimis. Cista atau ketumbuhan salur dalam pundi epididimis ini boleh membesar sehingga ia boleh terasa macam ‘buah zakar’.

Cista ini boleh berlaku akibat keradangan salur dalam pundi epididimis dan kekal untuk seketika. Jarang kali ia ketumbuhan barah.

Jadi untuk semua lelaki, mustahak untuk melakukan pemeriksaan kendiri buah zakar dari semasa ke semasa untuk mengesan perubahan yang boleh berlaku pada buah zakar.

Jika was-was, mustahak untuk merujuk kepada doktor dan bukan tukang urut. Salah urut, anda boleh jadi mandul. Jika barah, lagi serius!

Klik untuk ke laman web

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget