Monday, November 22, 2010

Artikel: Periksa buah kerandut atau "testis"

LELAKI mempunyai sepasang buah kerandut atau ‘testis’ yang mula aktif dan membesar selepas lelaki itu mencapai akil baligh.

Bentuk dan saiz buah kerandut menggambarkan keaktifan kilang dan sebagai bandingan, saiz buah kerandut lelaki matang tidak kurang daripada tiga per empat saiz ibu jari kakinya.

Jika digunakan pengukurnya (Prader’s Orkidometer) saiz buah kerandut yang normal untuk lelaki Asia ialah antara 12 mililiter (ml) hingga 25 ml.

Ukuran 10 ml boleh dikatakan yang terendah normal dan kurang daripada itu akan menjadi tidak normal. Buah kerandut kecil kurang menghasilkan sperma. Jika sangat kecil, kemungkinan buah kerandut tidak dapat menghasilkan sperma. Buah kerandut sebegitu dinamakan ‘atrophic testis’.

Saiz buah kerandut boleh berubah dari semasa ke semasa dan lelaki berkahwin akan mendapati kilang sperma aktif dan buah kerandut akan kelihatan besar jika hubungan kelamin kerap dilakukan. Jika kurang melakukan hubungan seks, lama-kelamaan buah kerandutnya kelihatan kecil dan mengecut.


Perubahan suhu buah kerandut juga boleh mempengaruhi saiznya dan jika terdedah kepada kepanasan untuk jangka masa lama, kilang buah kerandut menjadi kurang aktif dan mengecut.

Jadi pakaian dalam ketat, yang menolak buah kerandut berdekatan badan, dan lebih-lebih lagi jika lelaki itu gemuk dengan banyak lemak di tundun dengan kedua-dua buah kerandut berkedudukan mengelilingi lemak, lama-kelamaan buah zakar boleh mengecut.

Kecederaan atau trauma kepada buah kerandut dan lebih-lebih lagi kecederaan kepada pembuluh darah yang berlaku secara tidak sengaja (seperti tertendang) atau sengaja seperti mengurut juga boleh membuatkan kilang dalaman tercedera dan buah kerandut mengecil beberapa bulan kemudian.

Sama juga dengan infeksi atau radang buah kerandut disebabkan jangkitan seperti penyakit beguk atau ‘mumps’ boleh membuatkan ia mengecil selepas beberapa tahun.

Jika pembuluh darah kepada buah kerandut tersekat atau jalanan darah terganggu, kedua-dua buah kerandut itu juga boleh mengecut dan mengecil.

Cara tepat untuk mengesan perubahan kepada buah kerandut ialah menerusi pemeriksaan kendiri atau ‘self testicular examination’ sebulan sekali. Cara pemeriksaan ialah seperti berikut:

Lihat kedudukan buah kerandut depan cermin. Tujuh puluh peratus lelaki mempunyai buah kerandut kiri sedikit ke bawah daripada kanan dan ia perkara biasa. Kemudian guna tangan kiri untuk mengampu kerandut sambil tangan kanan menelitinya dari depan ke belakang dan dari atas ke bawah, meneliti pundi epididimis dan pembuluh darah. Lakuan perkara sama untuk memeriksa buah kerandut kiri dan kali ini tangan kanan mengampu kerandut. Jika terasa sesuatu yang memusykilkan, jumpa doktor.

Jika sudah bertemu doktor dan tidak puas hati dengan hasil pemeriksaan, jumpa pakar untuk pendapat kedua. Untuk kepastian, pemeriksaan imbasan boleh dilakukan dan diagnosis tepat dapat diberi.
Perasaan kebas pada anggota kelamin anda ada kaitan dengan tekanan urat saraf dan perjalanan darah di bahagian ‘perineum’ atau kelangkang akibat menunggang motosikal. Anda boleh gunakan kusyen lebih lembut dan ubah posisi menunggang supaya bahagian kelangkang tidak tertekan lama. Jika terus mengalami tekanan itu, kemungkinan anda mengalami ED atau disfungsi erektil.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget