Tuesday, May 24, 2011

Artikel: Tambah anak

SEBAHAGIAN pasangan suami isteri hanya memiliki seorang cahaya mata. Ada yang inginkan anak kedua dan seterusnya, namun rezeki tidak berpihak kepada mereka.

Bagaimanapun, masalah itu boleh diselesaikan. Jika mempunyai masalah ini, saranan saya jangan hanya menunggu. Sebaliknya, buat pemeriksaan dengan doktor keluarga atau pakar kesuburan.


Biasanya, pasangan tidak sedar mereka mengalami masalah kesuburan sekunder atau ‘secondary infertility’. Maksudnya ialah kegagalan menambah bilangan cahaya mata setelah mencuba dalam setahun.

Jika anda berjumpa pakar kesuburan, suami akan menjalani ujian air mani di makmal dan isteri menjalani ujian hormon fertiliti untuk mengesan kemampuan menghasilkan telur.


Jika tiada masalah pengeluaran telur, doktor akan meninjau salur reproduktifnya melalui ujian X-ray dikenali sebagai HSG. Ia bertujuan mengenal pasti jika rahim dalam keadaan sihat dan salur telurnya tidak tersumbat.


Jika ujian X-ray gagal, mungkin doktor lakukan pembedahan kecil (laparaskopi) dengan memasukkan alat teropong kecil melalui pusat untuk meneliti ‘organ pelvis’, iaitu rahim dan salur telur.

Bagi si suami, jika ujian air mani normal, doktor akan cadangkan kaedah bantuan konsepsi seperti hubungan kelamin berjadual selepas memberi ubat untuk menghasilkan beberapa telur. Jika cara itu tak berjaya, doktor akan mencadangkan kaedah IUI atau penyemaian benih dalam rahim.


Cara lain pula ialah seperti bayi tabung uji. Begitupun, kaedah rawatan kesuburan sekarang adalah canggih dan kosnya juga tidak mahal seperti dulu kerana banyak pusat kesuburan memberi khidmat itu.

Pasangan yang ada masalah seperti ini harus meninjau mana-mana pusat kesuburan melalui Internet dan dapatkan bimbingan daripada pusat berkenaan.


Berbalik kepada masalah kesuburan sekunder, setiap pasangan perlu tahu bahawa tahap kesuburan lelaki dan wanita menurun apabila umur meningkat. Jika anda dan pasangan melengah-lengahkan pemeriksaan dan rawatan, kemungkinan besar anda tidak mendapat cahaya mata.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget