Wednesday, May 25, 2011

Soal Jawab: Bakal pengantin ada virus hepatitis B

SAYA berusia 25 tahun dan akan berkahwin dalam tempoh lima bulan lagi. Saya disahkan mempunyai virus hepatitis B. Bakal suami tidak mengetahui mengenai penyakit saya kerana saya takut dia tidak mahu berkahwin dengan saya.

Apakah nasihat doktor supaya suami saya tidak terkena virus sama apabila kami berkahwin kelak? Adakah kemungkinan saya memiliki anak yang sihat dan bebas daripada virus ini?


GADIS KELIRU
Shah Alam, Selangor



SEBELUM itu, ingin saya jelaskan bahawa ini bukan bidang kepakaran saya. Terdapat kategori pakar perubatan dalaman, lebih-lebih lagi yang mempunyai tambahan pengkhususan dalam bidang hepatologi atau gastro-enterologi yang lebih mahir dalam mengendalikan kes anda, malah dapat memberikan penerangan lebih mendalam dan jelas terhadap penyakit ini.

Penerangan di bawah adalah secara panduan saja, seeloknya anda bertanyakan doktor anda untuk kesahihan.

Anda tidak menyatakan status jangkitan yang anda alami, yang boleh diketahui melalui ujian darah ke atas protein berlainan hepatitis B (s-Antibodi, s-Antigen, e-Antigen, c-Antibodi dan c-Antibodi IgM).

Tidak salah jika anda ingin mengulangi ujian itu untuk kepastian. Anda juga boleh mengetahui sekiranya anda sudah sembuh daripada virus ini.

Terlebih dulu, anda juga mungkin boleh cuba bertanya kepada bakal suami mengenai status hepatitis B pada dirinya sekiranya dia sudah mendapatkan suntikan vaksin hepatitis B sebelum ini yang boleh melindunginya. Ini boleh disahkan dengan ujian darah.

Jika benar anda dijangkiti dan bakal suami anda tidak pernah mendapat perlindungan vaksin itu, saya nasihatkan anda berterus terang kepada bakal suami kerana mempunyai virus hepatitis B boleh menjangkiti suami melalui hubungan seks (virus ini terdapat dalam lelehan faraj selain bendalir tubuh seperti darah, air mani, susu badan dan lelehan luka). Ini terutamanya jika ujian darah menunjukkan kehadiran antigen e (hepatitis B e-Antigen) yang bermakna tubuh seseorang mempunyai paras virus hepatitis B yang tinggi dan mudah menjangkiti.

Bakal suami anda juga disaran mendapatkan suntikan gamma immunoglobulin hepatitis B dan memulakan siri vaksinasi hepatitis B secepat mungkin bagi melindunginya.

Berikut adalah beberapa fakta yang boleh dijadikan panduan:

  • Secara perbandingan, virus hepatitis B seribu kali lebih mudah berjangkit berbanding virus HIV. Virus hepatitis B boleh menyebabkan penyakit peradangan hati (hepatitis) yang boleh menjadi kronik, penyakit sirosis hati dan kanser hati (kanser hepato-selular).

  • Tempoh vaksinasi mengambil masa enam bulan. Menangguhkan hubungan seks adalah pilihan selamat sehingga suami mengambil suntikan immunoglobulin dan vaksinasi lengkap serta disahkan oleh ujian darah dirinya sudah imun terhadap hepatitis B. Menggunakan kondom dalam tempoh terbabit boleh memberi risiko jangkitan sekiranya kondom itu bocor.

  • Anda juga dinasihatkan tidak berkongsi barangan peribadi seperti sikat,
    berus gigi, pengetip kuku, gunting, pencukur dan seumpamanya yang boleh mempunyai sisa darah anda, sama ada dengan mereka di sekeliling anda yang masih belum imun.

  • Begitu juga apabila anda luka, hendaklah ditutup dan elakkan menyentuh orang lain dengan kawasan luka terbabit kerana dikhuatiri berjangkit kepada mereka sekiranya permukaan kulit mereka juga mengalami luka walaupun kecil.

  • Menderma darah juga dilarang.

  • Kebanyakan hospital juga menjalankan ujian hepatitis B secara rutin bagi pesakit yang ingin menjalani pembedahan bagi membolehkan mereka mengubah suai persediaan atau jenis alatan pembedahan untuk mengelakkan risiko kakitangan atau pesakit lain dijangkiti.

    Seeloknya anda memberitahu doktor keadaan hepatitis anda apabila mendapatkan rawatan pe�nyakit seperti demam, apabila hamil dan sebelum menjalani pembedahan.

    Virus hepatitis B juga boleh berpindah secara transmisi ‘menegak’ daripada ibu kepada bayinya. Selepas dilahirkan, bayi anda akan diberikan suntikan immunoglobulin hepatitis B bagi membantu mencegah jangkitan di samping vaksin hepatittis B. Di negara kita, program siri imunisasi hepatitis B ke atas bayi sudah diberikan secara percuma sejak lebih 20 tahun lalu.

    Anda dinasihati menjalani rawatan susulan untuk mengetahui kesan jangkitan terhadap hati dan kesihatan am anda dari semasa ke semasa. Terdapat juga pesakit yang kemudian didapati bebas daripada virus ini.

    Amalkan pemakanan berkhasiat dan seimbang bagi menguatkan sistem imun anda terhadap penyakit lain. Penjagaan ketahanan hati amat penting, ketahui isi kandungan sebenar yang anda ambil dan kesannya sama ada produk makanan, produk tradisional ataupun ubatan moden.
  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
    There was an error in this gadget