Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Berat badan pengaruhi tahap kesuburan

SAYA berusia 29 tahun dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun empat bulan. Berat badan saya 85 kilogram dengan ketinggian 163 sentimeter.

Anak saya dilahirkan melalui pembedahan kerana air ketuban pecah terlalu awal.

Saya merancang untuk menambah cahaya mata dalam masa terdekat. Bermacam usaha saya lakukan, tetapi belum berhasil. Sejak setahun ini, kitaran haid saya tidak teratur.

Saya sudah ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan doktor memberikan ubat supaya saya didatangi haid. Apabila mengambil ubat itu, saya hanya didatangi haid sehari saja, itu pun dalam kuantiti yang sangat sedikit.


Kini sudah dua bulan saya tidak didatangi haid. Apakah yang harus saya lakukan? Adakah saya boleh hamil lagi?


NIZA
Petaling Jaya, Selangor




DENGAN ketinggian anda, berat badan yang sesuai adalah di antara 51 kilogram dan 66 kilogram.

Berlebihan berat badan (malah dengan BMI 32 kg/m2, anda termasuk dalam kategori obes) boleh menyebabkan gangguan pengeluaran telur (anovulasi).

Bukan itu saja, dengan ketiadaan pengeluaran telur, tiada hormon progesteron dihasilkan oleh ovari dan ini boleh mengganggu turutan perubahan pada lapisan haid atau endometrium sehingga menyebabkan ketiadaan haid. Ubat menurunkan haid yang sering diberikan doctor sebenarnya menggantikan hormon progesteron yang tidak dihasilkan itu.

Anda tidak menyatakan lebih lanjut jenis usaha yang sudah anda lakukan. Eloklah anda mulakan dengan mendapatkan nasihat pemakanan daripada pakar dietetik bagi membantu mengurangkan berat badan anda sebanyak lima peratus terlebih dulu (lima kilogram).

Kajian menunjukkan dengan mengurangkan berat badan berlebihan sebanyak 10 peratus, ia boleh mengubati masalah anovulasi. Pada masa sama, anda dinasihatkan berjumpa pakar sakit puan berhampiran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget