Sunday, May 29, 2011

Soal Jawab: Fibroid besar seperti hamil

ISTERI saya yang berusia 34 tahun dikesan mempunyai fibroid ketika hamil anak ketiga dan alhamdulillah, dia selamat melahirkan bayi lelaki pada Julai 2010. Ketiga-tiga anak lelaki kami dilahirkan melalui pembedahan (Caesarean).

Masalahnya kini, fibroid isteri saya semakin membesar (lapan sentimeter) ketika menjalani pemeriksaan berkala oleh pakar di hospital di Johor Bahru kira-kira tiga bulan lalu.

Saya ingin tahu, sejauh mana fibroid ini berbahaya? Apakah langkah rawatan atau ubatan yang boleh disyorkan untuk mengurang dan mengecutkannya selain daripada menopaus atau pembedahan?

ZAINAL, Seri Saujana, Kota Tinggi

FIBROID adalah sejenis ketumbuhan berasal dari dalam dinding berotot rahim, malah ia juga terdiri daripada sel otot rahim (myometrium), bezanya cuma sifatnya membentuk ketulan atau pusaran.

Fibroid bukanlah kanser dan risiko ia bertukar menjadi kanser sangat rendah (di bawah satu peratus). Tetapi fibroid boleh memberi masalah bergantung kepada saiz dan lokasinya, kadangkala sehingga membahayakan kesihatan seperti:

  • Pendarahan haid yang banyak sehingga boleh menyebabkan kekurangan darah (anemia). Ini lebih kerap berlaku dalam fibroid jenis submukosa kerana keluasan tisu haid atau endometrium bertambah. Jantung juga bertindak balas secara cuba mengepam lebih laju walaupun hasilnya isi padu setiap kontraksi jantung menjadi berkurangan.

  • Kesan himpitan fibroid terhadap organ berhampirannya contohnya apabila fibroid menekan bahagian hadapan (pundi kencing), seseorang akan terasa kerap ingin membuang air kecil.

  • Kesan tidak nyata boleh berlaku apabila fibroid menghimpit bahagian tepi (saluran kencing ureter) dan menyebabkan air kencing membolak semula ke buah pinggang sehingga menjadikannya bengkak (hidronefrosis).

  • Saiz fibroid yang semakin membesar juga boleh menjadikan isteri anda kelihatan seperti hamil lagi. Jika terlalu besar, ia juga boleh menyukarkan pernafasan. Memandangkan isteri anda masih muda, tidak mustahil ini boleh berlaku.

    Fibroid muncul atau membesar dengan rangsangan hormon estrogen. Itulah sebabnya fibroid dijangka beransur-ansur mengecil (bukannya pupus) setelah wanita mencapai menopaus, fibroid baru juga tidak akan muncul selepas menopaus.

    Selain itu, fibroid juga sering dikaitkan dengan kehadiran penyakit endometriosis kerana endometriosis juga ‘hidup’ atas rangsangan hormon estrogen.

    Rawatan untuk mengecilkan fibroid lebih menjurus kepada ubatan yang mempunyai kesan menurunkan paras hormon estrogen seseorang. Terdapat beberapa jenis ubatan sama ada yang mengandungi bahan analog GnRH ataupun bahan androgenik, setiap satunya mempunyai kesan sampingan tersendiri dan diberikan untuk sementara saja.

    Selain itu, terdapat juga kaedah embolisasi (penyumbatan salur darah arteri uterin) yang menyekat bekalan darah kepada rahim (termasuk fibroid) sehingga menyebabkan ia mengecil. Isteri anda juga tidak digalakkan mengambil ubat atau produk sembarangan kerana dikhuatiri mengandungi bahan hormon estrogen ataupun steroid (yang kemudian boleh bertukar kepada estrogen).


  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
    There was an error in this gadget