Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Hamil selepas sebulan keguguran

SAYA berumur 33 tahun dan mempunyai dua anak berbeza umur tiga tahun. Saya mempunyai masalah keguguran yang kerap iaitu selepas mendapat anak pertama, saya hamil tetapi gugur sebelum masuk tiga bulan kandungan.

Lima bulan kemudian, saya hamil dan mendapat seorang lagi anak. Lima tahun kemudian saya hamil pada akhir 2010 tetapi gugur pada awal 2011.

Doktor menyarankan saya hamil semula dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi tetapi saya disahkan hamil selepas sebulan keguguran.

Kini saya tidak pasti sama ada kandungan saya boleh bertahan atau sebaliknya. Apakah faktor penyebab keguguran? Adakah ia juga berkaitan dengan keabnormalan embrio atau rahim yang tidak kuat?


Jika hamil sebelum tempoh tiga bulan, apakah kesannya kepada tubuh atau rahim?


INGIN TAHU,
Kuala Lumpur




BANYAK penyebab keguguran namun yang paling kerap adalah masalah pembentukan embrio (termasuk akibat keabnormalan kromosom), sehinggakan ramai wanita keguguran tidak menyedari mereka hamil sebaliknya menyangkakan haid mereka lambat sahaja.

Rahim tidak kuat adalah istilah yang kurang kesahihannya kecuali serviks yang tidak kuat (dinamakan inkompetens serviks) kerana ini sangat berkait dengan keguguran.

Bagaimanapun, ia lebih berlaku dalam trimester kedua dan jika berulang, lazimnya usia kandungan berikutnya semakin lanjut sebelum pintu rahim membuka menyebabkan keguguran.

Selepas keguguran (terutama selepas menjalani prosedur cuci D&C), wanita dinasihatkan ‘berehat daripada hamil’ untuk masa dua hingga tiga bulan bagi membolehkan lapisan terdalam pada dinding rahim sembuh dan tumbuh semula.

Ia juga memberi masa wanita ini pulih secara fizikal contohnya memulihkan paras hemoglobin darah. Aspek yang sama penting, tempoh ini juga membolehkan wanita atau suaminya tenang selepas kehilangan kandungan dahulu. Jika sudah pulih serta bersedia awal dan tidak menjalani D&C, mungkin tidak perlu menunggu tempoh begitu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget