Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Kencing kotor selepas tukar pil perancang

SAYA berusia 24 tahun, berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Saya mengambil pil perancang sebaik saja anak saya berusia tiga bulan sehingga kini. Sudah beberapa kali saya menukar jenis pil perancang atas saranan pihak klinik desa tempat saya menjalani rawatan setiap bulan.

Namun selepas bertukar kepada pil perancang jenis Regividon, saya dapati air kencing saya sangat kotor, berbau kurang enak dan kekuningan, tidak seperti sebelumnya.

Ini kali kelima saya mengambil pil terbabit. Adakah ia masalah biasa yang dialami kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang? Adakah ia petanda sebarang penyakit? Apakah yang harus saya lakukan untuk menangani masalah ini?

Selain itu, sejak akhir-akhir ini saya sukar untuk membuang air besar. Kadangkala sehingga seminggu saya tidak buang air besar dan apabila dapat melakukannya, saya mengalami sembelit dan tidak lawas.


Saya mengamalkan pemakanan sihat seperti melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan tetapi ia kurang berkesan. Apakah puncanya? Adakah ia berbahaya dan bolehkah ia dirawat?


LAV,
Kuala Lumpur




PIL perancang (kontraseptif berhormon) berjenama yang anda nyatakan sebenarnya mengandungi komposisi bahan hormon yang sama dengan beberapa jenama pil kontraseptif berhormon yang tersedia
di Malaysia.

Besar kemungkinan, jenis pil perancang yang pernah anda ambil sebelum itu sebenarnya diperbuat daripada bahan dan dos kedua-dua hormon estrogen dan progestogen yang sama, maka sepatutnya ia memberikan kesan sampingan yang sama.

Pada kotak atau kepingan ubat terbabit, lazimnya ada dicetak kandungan (dengan saiz tulisan yang lebih kecil) seperti rigevidon: 30 mcg (mikrogram) ethinyl estradiol dan 150 mcg levonegestrel. Anda boleh membandingkan kandungannya dengan jenama yang anda ambil dahulu.

Masalah kencing yang anda alami mungkin disebabkan oleh jangkitan pundi kencing. Eloklah anda menjalani ujian air kencing secara mikroskopik (lebih dikenali sebagai UFEME) dan ujian kultur (dikenali sebagai C&S) untuk kepastian kerana jangkitan air kencing (sekiranya ada) perlu dirawat.

Sekiranya anda disahkan tidak mengalami jangkitan pundi kencing, maka bolehlah anda sandarkan gangguan yang anda alami sebagai salah satu gangguan pil berhormon dinyatakan. Ini kerana tanda gangguan menyerupai jangkitan air kencing sebegini (cystitis) ada dilaporkan sebagai aduan terpencil pengguna hormon berkombinasi sedemikian (tetapi jenama lain).

Saya tidak dapat menjawab dengan tepat mengenai masalah sembelit. Lazimnya masalah jarang membuang air besar lebih berkait dengan tabiat kurang mengambil pemakanan berserat, kurang minum dan kurang aktiviti fizikal.

Gangguan atau kesibukan waktu terasa ingin membuang air besar juga boleh menyebabkan ia menghilangkan rasa terbabit.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget