Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Mahu kandung anak sendiri

SAYA berusia 28 tahun, sudah berkahwin pada Mac tahun lalu tetapi hingga kini belum hamil. Kitaran haid saya normal sejak anak dara hingga sekarang iaitu setiap 28 hari dan haid datang selama enam hari dengan jumlah yang banyak. Saya tidak pernah mengalami masalah senggugut.

Untuk pengetahuan doktor, pada 2003 saya pernah menjalani pembedahan cyst dan ovari kanan saya terpaksa dibuang. Pada 2010, doktor pakar mengesan cyst saya tumbuh lagi tetapi kecil sahaja iaitu kira-kira ukuran 3.2 sentimeter.

Pada Januari 2011, doktor pakar menyatakan cyst saya sudah hilang dan tidak lagi kelihatan, sebaliknya doktor dapat mengesan keadaan dalam rahim saya tebal dan ada daging berlebihan seakan-akan darah.

Doktor menyatakan ia mungkin menghalang benih daripada melekat pada rahim saya. Adakah semua keadaan ini mendatangkan bahaya kepada saya? Saya belum pernah hamil dan teringin memiliki cahaya mata sendiri.


INSAN RESAH,

Johor



ANDA tidak menyatakan jenis ketumbuhan atau cyst yang anda alami dahulu. Pada usia 20 tahun, bukan mudah untuk doktor membuat keputusan terpaksa membuang keseluruhan ovari (dan bukannya cyst sahaja) kecuali jika doktor mengesyaki ketumbuhan terbabit mungkin berbahaya.

Mungkin imbasan ultra bunyi ataupun ujian imbasan CT menunjukkan ketumbuhan berkenaan bukan sahaja bersifat ‘cystic’ tetapi juga padu, terdapat cecair busung (ascitis) dan seumpamanya.

Apapun, keseluruhan ovari yang dibuang itu sepatutnya dihantar untuk ujian histologi pengesahan makmal. Lazimnya, doktor akan memberikan salinan laporan keputusan histologi terbabit untuk rekod anda.

Sekiranya separa berbahaya (lebih dikenali sebagai ketumbuhan ‘borderline’ atau ‘immature’) anda akan dipantau secara berterusan, mungkin ubat kemoterapi akan diberikan.

Sekiranya bukan, maka pembedahan terbabit sahaja sudah cukup mengubati penyakit anda dan tidak perlu lawatan susulan untuk tempoh masa panjang.

Dengan ketiadaan ovari kanan, peluang anda hamil adalah dari ovari kiri (dan tiub fallopio kiri). Memandangkan haid anda teratur, malah tepat setiap pusingan, maka kemungkinan besar anda juga mengalami ovulasi (pengeluaran telur) pada setiap pusingan haid.

Mungkin anda juga sebenarnya tidak mempunyai masalah dalam rahim seperti dinyatakan.

Buat permulaan, eloklah anda menjalani pemeriksaan asas kesuburan terutama ujian mudah secara sinaran-x (HSG) untuk mengesahkan tiub fallopio kiri anda tidak tersumbat, pemantauan pembesaran kantung folikel telur secara imbasan ultrabunyi serta rawatan mudah kesuburan.

Sebelum itu juga, eloklah suami anda turut melakukan pemeriksaan air mani. Bagi meningkatkan peluang kehamilan, doktor mungkin menawarkan rawatan pil kesuburan berdos rendah untuk menambah bilangan kantung telur matang pada bulan terbabit.

Kemudian, dengan adanya telur matang, doktor mungkin akan memberi pilihan sama ada ingin mencuba bersama suami ataupun menjalani teknik rawatan permanian berhadas (IUI).

Berkenaan cyst yang anda baru alami tahun lalu, mungkin ia daripada jenis cyst fisiologi, sama ada cyst folikular atau cyst luteum yang tidak perlu dibimbangkan, apatah lagi kini ia sudah mengecut atau hilang secara spontan tanpa rawatan.

Pada tahun pertama mencuba, peluang seseorang hamil adalah sekitar 85 peratus. Namun sekiranya seseorang masih belum hamil selepas setahun mencuba, peluangnya untuk hamil dalam tempoh setahun berikutnya adalah sekitar 50 peratus sahaja.

Kesuburan wanita juga mula menurun menjelang usia 28 tahun. Eloklah
anda teruskan rawatan dengan doktor pakar anda itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget