Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Masalah fibroid ketika hamil

SAYA disahkan mempunyai fibroid ketika hamil anak sulung pada 2007. Fibriod terbabit membesar sama dengan saiz kepala anak dalam kandungan ketika kandungan berusia empat bulan.

Saya juga menjalankan pemeriksaan secara berkala di sebuah hospital di Kuantan setiap bulan sehingga dua minggu sebelum bersalin.

Sewamtu pemeriksaan terakhir, doktor menyatakan fibroid terbabit masih ada, tetapi sudah mengecil disebabkan tekanan daripada pembesaran anak dalam kandungan. Proses semasa bersalin juga normal dan berjalan lancar cuma uri melekat dan saya dikuarantin selama enam jam dan diberi antibiotik akibat uri terlekat itu.

Selepas bersalin tiada lagi pemeriksaan susulan dan sehingga kini saya tidak pernah menjalankan pemeriksaan.


Untuk pengetahuan doktor, saya dalam perancangan untuk hamil anak kedua. Masalahnya, saya bimbang perkara sama berlaku seperti kandungan pertama itu.

Saya bimbang fibroid akan memudaratkan tumbesaran anak dalam kandungan. Apakah cara dan tempat untuk saya menjalankan pemeriksaan?

Untuk pengetahuan doktor sewaktu pemeriksaan di Kuantan, doktor yang membuat pemeriksaan pernah memaklumkan fibroid saya tidak berbahaya dan saya boleh melahirkan anak lagi.

Saya juga bimbang ia memberi kesan seperti anak saya yang pertama iaitu anak saya dilahirkan dengan masalah jantung konginetal (PDA infailure) dan menjalani proses ‘katerer’ pada usia anak saya setahun pada 2008.

Dia masih lagi menjalani rawatan susulan di Kuantan dan Institut Jantung Negara (IJN).

Untuk makluman doktor, kitaran haid saya sejak enam bulan lalu tidak normal iaitu hanya lima hari didatangi haid sedangkan sebelum ini enam hingga tujuh hari.

Adakah ia berkaitan dengan fibroid? Saya juga ingin tahu punca fibroid dan bahaya fibroid berkenaan.

IBU RESAH
Pekan, Pahang




SAYA menganggarkan saiz fibroid anda sekitar 3.6 sentimeter berdasarkan saiz ukuran rentas (diameter biparietal) kepala janin empat bulan (17 minggu).

Pada waktu menghampiri kelahiran matang, saiz terbabit adalah kecil secara relatif terhadap saiz janin seberat tiga kilogram, tambahan pula apabila doktor anda mengatakan saiz fibroid itu menjadi lebih kecil daripada saiz awal.

Anda perlu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai fibroid yang anda alami berkait dengan kesuburan atau kehamilan akan datang, melalui pemeriksaan doktor sakit puan anda dan ujian mudah (ultrabunyi):

- Lokasi fibroid berkait dengan lapisan dinding otot. Besar kemungkinan ia di kawasan tengah dinding otot (intramural) ataupun membonjol ke permukaan luar rahim (subserosal). Pada saiz terbabit, lazimnya kedua-dua jenis fibroid ini tidak mengganggu kesuburan. Fibroid yang membonjol ke dalam ruang rahim (submukosal) ataupun berada dan menekan pada bahagian pangkal tiub fallopio boleh mengganggu kesuburan.

Fibroid submukosal juga lazimnya menyebabkan pendarahan haid yang banyak (menorhagia) kerana keluasan permukaan endometrium atau haid juga bertambah. Sekiranya uri berada ‘di atas’ fibroid submukosal ini lebih-lebih lagi jika ia di kawasan segmen bawah, ia boleh menyebabkan masalah tumpah darah selepas bersalin kerana bahagian otot rahim pada kawasan itu tidak atau lambat mengecut sepenuhnya.

- Lokasi fibroid berkait dengan bahagian rahim. Besar kemungkinan fibroid anda berada di bahagian badan rahim dan bukannya serviks (pintu rahim), maka laluan bayi sewaktu kelahiran tidak menghadapi masalah. Sekiranya ia berada membonjol ke bahagian hadapan, seseorang lazimnya kerap berasa ingin membuang air kecil, lebih-lebih lagi sewaktu kehamilan trimester pertama.

- Saiz terkini fibroid dan sekiranya fibroid lain sudah kelihatan. Fibroid boleh sama ada satu atau banyak, berasingan atau bergugusan, sekecil beberapa milimeter (tidak nyata kelihatan dahulunya) atau sangat besar sehingga memenuhi ruang abdomen.

- Sama ada anda juga mungkin mengalami endometriosis. Ini kerana kedua-dua penyakit ini ‘hidup’ dengan rangsangan hormon yang sama iaitu hormon estrogen. Endometriosis peringkat lanjut boleh mengurangkan kesuburan.

Kitaran haid bukan dikira berdasarkan panjang tempoh haid, tetapi jarak di antara dua kedatangan haid berturutan. Panjang tempoh haid anda mungkin tiada masalah, lebih-lebih lagi jika jumlah pendarahan selama tempoh lima hari itu sama dengan sebelumnya sewaktu pendarahan tujuh hari.

Fibroid tidak menyebabkan kecacatan organ janin atau bayi. Anda tidak menyatakan usia anda, sekiranya terdapat ahli keluarga anda dengan keabnormalan organ atau jantung, sama ada anda diuji penyakit diabetes mellitus (kencing manis), jangkitan kuman sewaktu kehamilan, ubat yang sering diambil sebelum dan sewaktu kehamilan dan seumpamanya.

Fibroid juga tidak berbahaya atau menyebabkan kanser. Risiko fibroid menjadi kanser sangat rendah iaitu di bawah satu peratus.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget