Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Pesakit ASD berhajat untuk hamil

SAYA pesakit ASD dengan Sindrom Eissenmenger. Doktor melarang saya hamil kerana berisiko tinggi. Jika ingin berkahwin, doktor akan memberi suntikan mencegah kehamilan kepada saya.

Saya ingin tahu, jika pada awal perkahwinan saya mengambil suntikan terbabit, bolehkah selepas setahun atau dua tahun kemudian saya berhenti kerana ingin mencuba untuk hamil?

Apakah kesannya kepada saya dan adakah saya berpeluang hamil?

Selain itu, jika saya hamil, adakah saya akan melahirkan anak secara normal, vakum atau pembedahan?


Doktor pernah memberitahu sebarang bentuk pembedahan, luka atau apa saja yang membabitkan pendarahan adalah berisiko untuk saya.


Untuk pengetahuan doktor, saya pernah berkenalan dengan beberapa pesakit seperti saya dan mereka berjaya melahirkan anak walaupun pada awalnya dilarang doktor. Apakan pandangan doktor mengenai hal ini?

SAYA INGIN TAHU,
Kulim, Kedah.



SAYA pasti anda sudah mengumpul banyak maklumat mengenai ASD dan Sindrom Eisenmenger, tetapi mungkin belum faham mengenai situasi sebenar keadaan anda apabila bertanyakan soalan sedemikian.

ASD dengan Sindrom Eisenmenger adalah gabungan penyakit jantung yang gerun dihadapi mana-mana doktor termasuk doktor perbidanan. Doktor anda mempunyai alasan yang kuat apabila menasihati anda untuk tidak hamil.

Berdasarkan laporan kajian doktor merawat pesakit terdahulu yang memilih keputusan untuk hamil, 30 hingga 50 peratus daripada mereka berakhir dengan kematian ibu hamil itu sendiri. Ini adalah angka yang sangat tinggi dalam dunia perbidanan di Malaysia yang mengekalkan rekod kadar kematian ibu hamil serendah 0.3 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Kehamilan pula secara amnya membabitkan beberapa perubahan termasuk peningkatan isi padu darah, jumlah darah dipam dari jantung, rintangan dalam salur darah dan seumpamanya.

Seseorang yang mempunyai ASD saja atau sudah menjalani pembedahan menutupnya mungkin dapat menerima perubahan fisiologi kehamilan di atas.

Namun, bagi mereka yang mempunyai ASD dengan Sindrom Eisemenger, ia akan menambah teruk keadaan kekurangan darah beroksigen dan keadaan hipertensi pulmonari mereka.

Tidak timbul persoalan mengenai bila seseorang boleh hamil. Persoalan sebenarnya adalah sama ada seseorang itu selamat untuk hamil sehingga melahirkan dan kekal sihat sepanjang melahirkan.

Anda dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor pakar jantung anda dan doktor pakar perbidanan di hospital yang sama. Anda lebih berhak membuat keputusan mengenai diri anda, tetapi biarlah setelah mendapat penjelasan dan pemahaman penuh mengenai situasi anda.

Ultrabunyi akan dilakukan sekitar minggu ke-20 kehamilan bagi mengetahui keadaan jantung janin kerana ASD adalah penyakit jantung kongenital.

Risiko janin dikandung mengalami keabnormalan jantung kongenital meningkat lima hingga 10 kali ganda berbanding ibu hamil yang tidak mempunyai keabnormalan jantung.

Memandangkan kehamilan secara amnya meningkatkan risiko pembekuan darah di dalam salur vena atau trombosis vena (DVT) dan embolisma pulmonari, anda mungkin akan diberikan suntikan heparin bermolekul rendah (LMWH) untuk membantu mencegah pembentukan ketulan darah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget