Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Sakit bersama suami

SAYA berumur 32 tahun dan baru melahirkan anak keempat berusia dua bulan. Semua anak saya lahir secara pembedahan.

Memandangkan sudah empat kali menjalani pembedahan bersalin secara lower segment caesarean section (LSCS), doktor terus membuat kaedah BTL kepada saya. Sejak akhir-akhir ini, saya mengalami masalah pada faraj. Terdapat lendir berwarna kuning dan berbau.

Apabila bersama suami, faraj saya terasa sakit dan air pada faraj juga semakin kering. Adakah ia berpunca daripada kaedah BTL atau adakah ini petanda barah serviks sebab keluarga saya ada menghidap penyakit ini. Adakah kemungkinan saya menghidapinya juga?

LYNNEY, Melaka.



BTL atau bilateral tubal ligation hanya kaedah menutup laluan tiub fallopio sama ada secara memotongnya atau mengikatnya menggunakan cecincin ketat, atau mengepitnya menggunakan klip khas dan seumpamanya.

Walaupun tiub fallopio juga boleh menghasilkan sedikit cairan (mengandungi bahan nutrien untuk sperma, telur dan embrio), kuantitinya sangat sedikit.

Anda mungkin mengalami jangkitan faraj sahaja yang berasal dari luar seperti kulat yang kerap berlaku akibat perubahan hormon.

Bagaimanapun, eloklah anda menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui jenis jangkitan terbabit dan rawatan ubatan yang sesuai.

Kemungkinan jangkitan terbabit masuk jauh ke dalam (walaupun jarang) sehingga membabitkan lapisan dalam rahim, ini dinamakan endometritis.

Penghasilan cecair pelincir sewaktu hubungan seks berkait rapat dengan rangsangan seksual itu sendiri.

Sekiranya wanita mengalami rangsangan seksual, kelenjar Bartholin berhampiran bukaan faraj akan menghasilkan cecair ini.

Anda tidak pernah bersalin normal, maka kelenjar dan terowong kelenjar tidak mengalami trauma dan sepatutnya berfungsi. Sekiranya ia tersumbat, sudah pasti anda mengalami pembengkakan kelenjar jika anda tidak mempunyai masalah rangsangan seksual.

Sewaktu pemeriksaan untuk mengambil sampel lelehan faraj, doktor akan menilai keadaan permukaan serviks anda dan melakukan ujian pap smear. Barah serviks tiada kaitan dengan keturunan.

Mana-mana wanita yang pernah mengalami hubungan seks penetratif berisiko mempunyai kanser serviks dan ujian pap smear ialah satu ujian saringan awal yang mudah dan berkesan untuk mencegah kanser ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share it