Wednesday, May 18, 2011

Soal Jawab: Ujian kesan barah pangkal rahim

SAYA mengalami masalah keluar cecair seperti keputihan tetapi tidak gatal dan turut mengeluarkan sedikit darah setiap kali saya bersama suami.

Saya sudahpun melakukan ujian pap smear. Keputusannya menunjukkan tiada tanda perubahan sel tetapi ada kehadiran bakteria cocci dan bacilli. Untuk pengetahuan puan, keadaan ini berlaku selepas saya terkena cirit-birit, adakah ia berkaitan?

Saya ingin tahu serba sedikit mengenai bakteria terbabit. Saya juga ingin tahu sama ada keputusan pap smear itu boleh dipercayai 100 peratus kerana saya ada terbaca mengenai artikel yang menyatakan petanda awal kanser pangkal rahim susah dikenal pasti.

IZWANI,
Kulim, Kedah



BERKEMUNGKINAN anda terkena jangkitan daripada dubur memandangkan dubur dan faraj adalah berdekatan. Anda boleh meneliti kembali hasil ujian pap smear, mungkin ada turut dinyatakan keadaan inflamasi.

Sewaktu ujian ini dilakukan dahulu, doktor juga akan memberitahu keadaan permukaan serviks anda mengikut pengamatannya. Jangkitan kuman pada faraj (dan serviks) boleh menyebabkan inflamasi atau peradangan yang boleh memberi kesan luka atau pendarahan seperti yang anda alami.

Cocci dan bacilli merujuk kepada bentuk bakteria. Cocci berbentuk bulat manakala bacili berbentuk bujur. Terdapat beberapa jenis bakteria yang mempunyai bentuk cocci, begitu juga berbentuk bacilli.

Anda boleh menjalani ujian kultur swab lelehan faraj untuk mengesan beberapa jenis bakteria, ia mengambil masa beberapa hari sebelum keputusannya dapat dikenal pasti. Pada masa sama, antibiotik yang bersesuaian serta antibiotik yang tidak serasi juga diketahui dan rawatan ditambah atau diubah suai mengikut jenis antibiotik yang bersesuaian.

Terdapat juga jenis bakteria yang tidak dapat dikesan mengikut ujian kultur terbabit seperti jangkitan bakteria vaginosis. Kadangkala doktor akan memberikan jenis antibiotik berspektrum luas terlebih dahulu untuk mencakup sekumpulan jenis bakteria.

Sementara itu, anda dinasihatkan mengelakkan hubungan seks atau mencuci kemaluan sehingga ke dalam faraj bagi membiarkan serviks pulih dahulu. Teknik 'mandian sitz' secara duduk berendam di dalam besen berisi air bercampur dua hingga tiga sudu garam masakan selama 10 hingga 15 minit dapat membantu mempercepatkan pemulihan, seeloknya anda mencuci kemaluan dahulu sebelum berendam.

Sekiranya pap smear melaporkan inflamasi, anda dinasihatkan mengulangi ujian pap smear selepas empat hingga enam bulan jangkitan dirawat.

Jika masih terdapat inflamasi, ujian lanjutan (kolposkopi) akan dilakukan. Pap smear bukanlah 100 peratus tepat. Itulah sebabnya mereka yang didapati normal hasil pap smearnya dinasihatkan mengulanginya selepas setahun bagi mengurangkan kemungkinan 'positif yang palsu'.

Setelah kedua-dua hasil terbabit normal, barulah tempoh ulangan pap smear dilonggarkan kepada setiap tiga tahun, namun tidak salah jika anda ingin menjalani pap smear setiap tahun.

Benar, petanda awal kanser serviks sukar dikenal pasti. Itulah sebabnya pap smear dilakukan. Malah pap smear dapat menyaring keadaan penyakit prakanser yang dinamakan cervical intra-epithelial neoplasia (CIN) lama sebelum ia berubah menjadi kanser serviks (mengambil masa 10 hingga 15 tahun).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget