Wednesday, May 25, 2011

Soal Jawab: Ujian tahap kesuburan lelaki

SAYA ingin tahu, bagaimana cara melakukan ujian tahap kesuburan seorang lelaki?

YANG BERTANYA
Pekan, Pahang



Tahap kesuburan seseorang berubah dari semasa ke semasa. Ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti umur, tahap kesihatan, alam sekitar, penyakit yang boleh mengancam kesuburan seperti penyakit kelamin dan pelbagai perkara lain, termasuk kecederaan dan kemalangan membabitkan anggota kelamin.


Jika anda menjalani ujian tahap kesuburan sebelum kahwin, berkemungkinan ia boleh berubah selepas anda berkahwin. Yang penting, anda perlu mengenali ciri-ciri kesuburan. Jika anda lelaki, perkara utama ialah mempunyai anggota kelamin yang normal iaitu mempunyai sepasang buah zakar yang normal dan dapat menghasilkan sperma mencukupi, sperma aktif dan normal.


Mempunyai salur sperma dan semua organ anggota reproduktif dalaman yang normal, seperti pundi epidemis, pundi prostat, pundi seminal dan pundi Cowpers (normal), anggota kelamin yang boleh mencapai ereksi secara mantap, padat dan mampu melakukan penetrasi faraj perempuan, sekali gus dapat menyalurkan sperma dalam faraj.

Namun jika masih hendak tahu tahap kemampuan menghasilkan sperma, anda boleh menjalani ujian air mani. Cara mengeluarkan sampel air mani ialah melalui onani iaitu mengurut zakar sehingga mencapai ejakulasi air mani.

Sampel air mani hendaklah dihantar ke makmal secepat mungkin, iaitu tidak lebih dari sejam. Jika ada sperma dalam air mani, ini petanda anda tidak mandul.

Profil sperma normal ialah mempunyai isi padu air mani tidak kurang daripada dua mililiter (ml). Jika kurang, mungkin pengambilannya tidak sempurna dan perlu diulangi lagi sekali selepas seminggu. Biasanya 1ml air mani mempunyai tidak kurang daripada 20 juta sperma.

Peratusan sperma yang aktif tidak kurang daripada 40 peratus dan peratusan sperma berbentuk normal tidak kurang daripada 30 peratus. Anda perlu tahu profil sperma boleh berubah secara positif atau sebaliknya.

Oleh itu, jika sudah berkahwin serta belum dikurniakan cahaya mata, anda perlu menjalani ujian air mani untuk mengetahui profil sperma, walaupun sudah melakukannya sebelum berkahwin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget