Wednesday, May 25, 2011

Soal Jawab:Haid isteri tak normal

SAYA ingin tahu masalah yang dihadapi isteri saya iaitu haidnya tidak teratur. Isteri merancang keluarga dengan kaedah suntikan tiga bulan sekali. Ketika suntikan, dia tidak didatangi haid dan kali terakhir suntikan pada Mac 2010.

Selepas itu, isteri saya berjumpa doktor yang memberikan ubat hormon tetapi haidnya tidak normal selepas mengambil ubat. Pada hari ketujuh, darah keluar sedikit dan apabila membuang air besar dan air kecil, darah keluar.

Darah itu seakan-akan warna merah cair, kadang-kadang berwarna coklat. Apabila bersama, darah akan keluar dan keesokan hari, darah keluar semula. Ia menghilang dan kemudian darah keluar semula sehingga hari ke-21.

Isteri saya melakukan Pap smear tiga tahun turut-turut. Kali terakhir pada September 2010 dan keputusannya normal. Isteri saya sudah buat imbasan di perut dan keputusannya juga normal.


Isteri saya berusia 35 tahun dan kami mempunyai empat anak. Isteri saya teringin mahukan anak lagi dan dia risau darah yang keluar ketika kami bersama.


SHAM
Shah Alam, Selangor


SAYA cadangkan anda membawa isteri membuat pemeriksaan dengan pakar sakit puan. Suntikan pencegah kehamilan jarang memberikan kesan sebegitu setelah tamat penggunaannya melebihi enam bulan, apatah lagi setelah setahun.

Doktor mungkin akan mengulangi ujian Pap smear untuk mengetahui keadaan sel permukaan serviks (pintu rahim), kadangkala sewaktu alat spekulum dimasukkan, punca pendarahan seperti polip serviks dapat dilihat dan dibuang.

Selain itu, ultrabunyi pelvis (seeloknya dilakukan kaedah trans-vaginal) akan dilakukan bagi mengetahui keadaan lapisan dalaman rahim yang mungkin menjadi punca pendarahan terbabit serta ujian darah asas.

Doktor juga mungkin akan menasihati isteri menjalani prosedur mudah secara pembedahan kecil yang dinamakan histeroskopi bagi melihat secara langsung keadaan ruang dan lapisan terdalam rahim menggunakan teropong yang dimasukkan menerusi pintu rahimnya.

Sewaktu prosedur itu, doktor akan memotong atau mengeluarkan sekiranya terdapat sebarang ketumbuhan. Ia mungkin disudahi dengan prosedur D&C. Semua sampel ini akan dihantar untuk ujian makmal (ujian histologi) bagi mengetahui jenis penyakit pada lapisan haid anda (jika ada).

Prosedur itu lazimnya direkodkan secara video. Bagi hospital yang tidak mempunyai kemudahan itu, doktor mungkin akan mencadangkan prosedur D&C sahaja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget