Tuesday, June 28, 2011

Mungkinkah saya ada ketumbuhan payudara ataupun adakah ini tekstur semulajadi?

Apabila seseorang mengatakan terdapat gumpalan untuk sesuatu yang dirasai, anda akan terus berfikir terdapat sesuatu ketumbuhan yang menyebabkannya. Begitu juga dengan payudara kita.

Tetapi, anda perlu tahu tekstur payudara mungkin tidak rata dan terasa seperti terdapat banyak gumpalan di dalamnya. Ini boleh terjadi walaupun sebenarnya tidak terdapat apa-apa ketumbuhan di dalam. Kenyataan ini perlu diingati supaya kita tidak terasa cemas setiap kali kita melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP).

Apabila anda tidak mengenali tekstur semulajadi payudara, anda akan kehilangan keyakinan bahawa anda adalah orang yang paling sesuai untuk PSP!

Anda juga perlu berbincang lebih mengenai sesuatu ketumbuhan yang doktor anda telah terjumpa. Adakah ketumbuhan betul-betul boleh dirasai dengan jari ataupun hanya boleh dilihat melalui kaedah pengimejan ultrasound atau mamogram yang dilakukan oleh pakar radiologi (doktor pakar dalam pengimejan)? Kalau tidak, anda mungkin terasa tidak berguna untuk melakukan PSP kerana anda tidak pandai mengesan ketumbuhan tersebut! Sebenarnya, ketumbuhan tersebut memang tidak boleh dirasai.

Setiap orang patut mengenali saiz, bentuk, kekentalan/tekstur, kulit, puting dan lain-lain ciri payudara anda tersendiri. Dengan cara ini, anda dapat mengesan perubahan pada payudara anda dengan lebih yakin.

Apakah yang menentukan sesuatu ketumbuhan boleh dirasai atau tidak?
  • Saiz, bentuk (bulat, bujur, leper) dan kekentalan ketumbuhan tersebut
  • Kekentalan/kepadatan tisu payudara di sekeliling ketumbuhan tersebut
  • Jarak ketumbuhan daripada permukaan kulit
  • Saiz, Bentuk dan Kekentalan Ketumbuhan
Saiz Ketumbuhan & Bentuknya
Lebih besar sesuatu ketumbuhan, lebih senang dirasai. Bentuk juga boleh menentukan adakah sesuatu ketumbuhan boleh dirasai. Bentuk yang lebih leper serta lembut akan terasa seperti tisu payudara sekelilingnya, manakala bentuk yang lebih bulat lebih senang dirasai. Sesuatu ketumbuhan yang menyebabkan reaksi tisu di sekelilingnya juga akan terasa lebih besar.

Kekentalan ataupun Tekstur Payudara di sekeliling Ketumbuhan
Pengesanan sesuatu ketumbuhan juga akan bergantung kepada keadaan tisu payudara di sekelilingnya. Kalau ketumbuhan dan tekstur payudara di sekelilingnya mempunyai kekentalan yang sama, kita tidak akan dapat mengesannya dengan PSP. Ketumbuhan yang lebih keras daripada tisu di sekelilingnya akan senang dirasai. Kalau sesuatu ketumbuhan itu lembut, anda
mungkin teringat tisu payudara yang biasa di sebelahnya adalah ‘ketulan’!

Jarak Ketumbuhan daripada Permukaan Kulit Payudara
Jarak ketumbuhan daripada permukaan kulit payudara akan menentukan adakah ketumbuhan tersebut senang dikesan dengan PSP ataupun oleh pemeriksaan doktor anda. Ketumbuhan yang lebih dekat dengan tulang rusuk ataupun di “pendalaman” tisu payudara lebih susah dikesan.

Rumusan
Dalam praktis dan keadaan semulajadi, pengesanan sesuatu ketumbuhan dengan pemeriksaan payudara dengan jari/tangan bergantung kepada semua fakta yang tersebut di atas. Kini, terdapat pemeriksaan pengimejan ultrasound resolusi tinggi di mana keraguan mengenai kewujudan ketulan ataupun tekstur bergumpalan boleh dikenalpasti dengan teliti. Pemeriksaan ultrasound yang berfokus adalah sangat berguna untuk memastikan samada sesuatu yang anda rasai adalah ketumbuhan ataupun tekstur yang tidak rata. Untuk pengetahuan anda, ultrasound bukanlah pemeriksaan saringan untuk kanser payudara, terutamanya untuk mereka yang sudah mencecah umur 40 tahun. Ia merupakan pemeriksaan “complementary” untuk mamogram. Untuk mereka yang muda lagi, ultrasound berguna untuk situasi tertentu, seperti yang tersebut di atas.

Radiologymalaysia


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share it