Sunday, June 5, 2011

Soal Jawab: Keliru uri di bawah

SAYA kini hamil tujuh bulan dan ini adalah bayi sulung saya. Minggu lalu ketika saya membuat pemeriksaan kandungan di klinik ibu dan anak, doktor menyatakan keadaan uri saya berada di bawah dan menutup ruang untuk bayi keluar.

Adakah keadaan uri ini akan bergerak ke atas ataupun tidak? Adakah wajar jika saya mendapatkan rawatan tradisional seperti berurut untuk menaikkan uri kembali? Adakah bayi saya akan dilahirkan normal ataupun tidak?

RISAU,
Terengganu


RAMAI yang salah faham dengan istilah uri bawah (sama seperti salah faham terhadap istilah rahim terbalik). Ramai yang menyangka uri boleh bergerak atau boleh digerakkan.

Uri adalah organ yang terbentuk dalam kehamilan sahaja. Ia berupa seperti sekeping piring yang menjalar atau bertaup kuat pada dinding rahim kerana di antara kedua-dua ini terbentuk jalinan salur darah yang menyalurkan oksigen serta nutrien kepada bayi serta mengkumuhkan bahan buangan ke aliran darah ibu pula.

Mustahil untuk tempat perlekatan antara uri dan kawasan dinding rahim ini berpindah-randah kerana ia mengganggu atau memutuskan jalinan salur darah terbabit.

Memandangkan permukaan dalaman dinding rahim lebih luas daripada uri, maka ada uri didapati melekat pada bahagian bawah uri manakala ada uri pula yang melekat pada bahagian atas uri, ada uri yang melekat pada bahagian dinding hadapan dan ada pula yang melekat pada bahagian dinding belakang rahim dan seumpamanya.

Pada bahagian mana berlakunya perlekatan uri ini ditentukan sewaktu embrio mula ‘mendarat’ (implantasi) sebelum kehamilan menjadi positif dahulu.

Uniknya dinding rahim bahagian bawah terdapat satu garisan lingkungan yang akan melebar membentuk segmen bawah, ini berlaku pada sekitar bulan ketujuh kehamilan. Ini membolehkan uri di bawah kelihatan seolah-olah ‘naik’ kerana kawasan perlekatan uri ini sebenarnya ‘tersasar ke atas’ oleh garisan yang melebar atau mengembang ini.

Ini bermakna:

  • Uri yang pada awalnya di kawasan atas akan kekal di kawasan atas saja, ia tidak ‘turun’ ke bawah.

  • Uri yang pada awalnya di kawasan bawah pula mempunyai peluang akan ‘tersasar’ ke atas apabila segmen bawah uri mengembang kemudian. Peluang ini lebih cerah jika uri terbabit berada pada bahagian dinding hadapan (berbanding belakang) dan agak jauh atau tidak menyentuh pintu rahim (berbanding jika ia menutupi atau melangkaui pintu rahim). Dalam dunia perubatan moden, uri bawah dinamakan plasenta previa.

  • Uri di bawah bermakna ia melekat di bahagian bawah sejak dari awal kehamilan, bukannya ‘terjatuh’ sewaktu kehamilan terbabit.

  • Uri tidak boleh bergerak-gerak ke atas kemudian ke bawah, hadapan, belakang dan seumpamanya.

  • Uri tidak boleh digerakkan ke mana-mana menggunakan kaedah urut atau apa-apa teknik manual doktor.

    Malah ia boleh mendatangkan risiko trauma kepada uri terbabit.

    Terdapat beberapa peringkat uri bawah, ini mempengaruhi pilihan bersalin. Sekiranya ia menutupi pintu rahim, lazimnya pembedahan Caesarean akan dilakukan kerana bayi tidak dapat keluar secara normal melainkan uri dikeluarkan dahulu dan ini bermakna memutuskan bekalan darah kepada bayi.

  • Berita Harian

    No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
    There was an error in this gadget