Sunday, June 12, 2011

Soal Jawab: Kemoterapi suami pengaruhi kehamilan?

SUAMI saya pesakit SLE tahap empat dan pernah enam kali mendapat rawatan kemoterapi. Rawatan kemoterapi itu berakhir pada Mac 2011, tetapi dia masih mendapat rawatan ubatan dan temu janji daripada hospital.

Persoalannya, bolehkan saya hamil? Adakah rawatan yang dilalui suami boleh memberi kesan kepada kandungan sekiranya hamil?

Saya pernah bertanya rakan yang suaminya pernah mendapat rawatan kemoterapi akibat kanser. Menurut rakan saya, doktor tidak membenarkan dia hamil dalam jangka waktu suaminya menjalani rawatan kemoterapi.

Suami juga pernah bertanya doktor pakar yang merawatnya dan doktor berkenaan mengatakan tiada masalah untuk saya hamil. Bagaimanapun, apabila bertanya doktor pakar lain, kami dinasihatkan menangguhkan dulu selama enam bulan hingga setahun.


Diharap doktor dapat berkongsi pendapat dan maklumat mengenai kemusykilan ini.

LIZA,
Kuala Lumpur.


SAYA menjawab soalan ini mengenai kemoterapi secara umum, bukannya terhad kepada penyakit suami puan. Kemoterapi boleh memberikan kesan sampingan terhadap tubuh termasuk terhadap sperma.

Banyak kajian yang sudah dan sedang dilakukan untuk mengetahui pengaruh kemoterapi terhadap:

- Bilangan sperma misalnya sama ada ia berkurangan atau tiada langsung
- Keabnormalan kromosom pada sperma seperti aneuploidy, diploidy (yang kemudiannya menyebabkan keabnormalan kromosom pada embrio yang terbentuk).

Kedua-dua perkara di atas boleh mengurangkan kesuburan lelaki sehingga menyebabkan pasangan wanitanya sukar hamil. Kadangkala kehamilan berlaku, tetapi berakhir dengan keguguran yang lazimnya berpunca daripada keabnormalan kromosom embrio yang terbentuk.

Ini menjadi sebab ada doktor yang mencadangkan untuk menangguhkan buat tempoh tertentu bagi memberi peluang kehamilan normal yang optimum daripada sperma baru yang diharapkan kembali normal bilangannya dan peratusan normalnya.

Itulah sebabnya juga ada doktor yang mencadangkan menyimpan sperma beku (menggunakan prosedur beku-krio) daripada air mani yang dikeluarkan atau pembedahan mengeluarkan sebahagian epididimis atau menggunakan kaedah pembedahan mengeluarkan testis sebelum rawatan kemoterapi bermula untuk kegunaan akan datang jika berlaku keadaan ketiadaan sperma (azoospermia) kelak.

HMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget