Monday, June 27, 2011

Soal Jawab: Sakit selepas gugur anak

SAYA berumur 26 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga setahun lalu. Untuk pengetahuan doktor, saya pernah hamil namun melakukan pengguguran ketika kandungan berumur dua bulan.

Saya melakukan pengguguran itu kerana khuatir bayi saya berisiko besar untuk cacat disebabkan saya mengambil ubat tradisional Cina untuk mengubati penyakit asma saya selama dua bulan sebelum saya hamil lagi.

Saya mendapat penyakit asma ini sejak bayi berikutan faktor keturunan yang memang mempunyai penyakit asma. Namun sehingga kini, penyakit asma saya masih tidak sembuh, malah semakin bertambah buruk.

Saya jarang bersama suami disebabkan suami bertugas di luar negara dan hanya pulang sebulan sekali selama seminggu. Untuk pengetahuan doktor, selepas sebulan saya melakukan pengguguran itu, saya bersama suami namun ketika bersama suami, saya berasa sakit pada rahim.


Tetapi saya tidak mengadu kepada suami kerana tidak mahu suami risau dan menghampakannya. Selepas hari itu, saya tidak rasa sakit lagi apabila bersama suami.


Sejak kebelakangan ini, saya merasa sakit pada bahagian kanan perut saya pula.
Sakitnya teramat sangat sehingga kadang-kadang saya tidak lalu bangun apabila ia menyerang. Saya tidak rasa sakit di bahagian lain kecuali pada bahagian terbabit, kadang-kadang saya menekan di bahagian sakit itu untuk mencari mana punca kesakitan itu kerana saya risau jika saya mendapat kanser ovari. Saya juga rasa ngilu setiap kali datang haid.

Adakah melakukan pengguguran boleh menyebabkan risiko rahim terdedah pada kuman? Adakah kesakitan terbabit antara simptom kanser ovari? Apa yang perlu saya lakukan kini?


SITI HAWA
Banting, Selangor

BENAR, prosedur cucian dilate & curettage (D&C) seperti sewaktu pengguguran kandungan mendedahkan seseorang kepada risiko jangkitan kuman di dalam rahim (endometritis), malah mungkin lebih jauh ke dalam dan membabitkan organ pelvis lain, ini lebih dikenali sebagai PID.

Kanser ovari pula lazimnya tidak memberi petanda awal. Ia juga tidak kerap menyebabkan kesakitan seperti yang anda alami. Kesakitan pada bahagian pelvis lebih kerap disebabkan oleh penyakit seperti jangkitan kuman dan endometriosis.

Eloklah anda mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan. Anda juga dinasihatkan mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit asma yang dialami memandangkan ia menjadi semakin teruk.

Pada masa sama, doktor dan anda dapat menjurus kepada pencetus asma yang anda alami.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget