Tuesday, July 5, 2011

Soal jawab: Asid folik dapat cegah bayi cacat

SAYA berusia 28 tahun dan baru mendirikan rumah tangga selama empat bulan dan masih belum hamil. Keinginan untuk hamil memang tinggi. Adakah saya boleh mengambil asid folik walaupun belum hamil?

Saya juga musykil kerana kitaran haid saya adalah 24 hari saja serta mengalami senggugut dan sembelit pada hari pertama dan kedua didatangi haid. Biasanya saya didatangi haid dalam tempoh enam hingga tujuh hari. Adakah simptom sebegini menyukarkan saya untuk hamil?

Adakah saya normal? Apakah langkah yang memudahkan saya untuk hamil? Adakah mengambil suplemen di pasaran boleh memudahkan saya hamil? Harap doktor dapat memberi nasihat.

INGIN HAMIL,

Selangor

ASID folik adalah sejenis vitamin B yang didapati mengurangkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi sebanyak sehingga 80 peratus. Ia bukanlah ubat kesuburan.

Wanita disarankan mengambil asid folik sebanyak sekurang-kurangnya 400 mikrogram setiap hari dari sebulan sebelum memulakan kehamilan dan diteruskan
sehingga kandungan melepasi trimester pertama.

Bagi ibu yang pernah mempunyai sejarah bayi atau janin dengan kecacatan terbabit (misalnya anencephaly), pengambilan asid folik seeloknya dari tiga bulan sebelum memulakan kehamilan.

Kitaran haid yang kurang daripada 25 hari lazimnya berkait dengan masalah hormon. Senggugut juga mungkin mempunyai kaitan dengan masalah sakit puan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan, namun ia tidak semestinya begitu. Eloklah anda menjalani pemeriksaan doktor terlebih dulu.

Anda juga perlu berhati-hati dengan produk atau bahan yang menggunakan istilah ‘suplemen’ atau makanan kesihatan. Teliti kandungan keseluruhan produk berkenaan bagi mengetahui jenis bahan yang memasuki tubuh anda. Tidak mustahil suplemen yang dikatakan berjaya membuahkan kehamilan kembar sebenarnya mengandungi bahan ‘clomiphene citrate’ atau bahan antiestrogenik yang lain (contohnya yang digunakan dalam rawatan kanser payudara wanita menopaus) kerana ia merangsang pembesaran lebih daripada satu telur dalam sesuatu kitaran haid atau kesuburan wanita.

Memandangkan bahan berkenaan dilaporkan memberikan risiko kanser ovari apabila melepasi tempoh tertentu, eloklah anda faham kesannya. Setiap bahan mempunyai kesan baik dan kesan sampingan tersendiri. Sesuatu bahan dikatakan ubat apabila ia disediakan dalam dos seminimum mungkin bagi mengurangkan risikonya serendah mungkin, tetapi pada masa sama masih dapat mengekalkan potensinya. Jika tidak pasti mengenai dosnya, istilah ubat terbabit mungkin lebih sesuai dipanggil bahan beracun.

HMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget