Tuesday, July 5, 2011

Soal jawab: Tujuh tahun tiada anak

SAYA berumur 33 tahun dengan berat 47 kilogram dan ketinggian 160 sentimeter. Saya sudah berkahwin selama tujuh tahun dan tidak dikurniakan anak. Haid saya sememangnya tidak teratur.

Saya sudahpun melakukan pemeriksaan perubatan sepenuhnya antaranya ultrabunyi pelvis, ujian darah dan HSG. Keputusannya, saya tidak mengalami masalah, begitu juga dengan sperma suami.

Pada 2008, saya melakukan rawatan permanian berhadas (IUI) dan ketika menjalani rawatan, setiap hari perut saya semakin membengkak sehingga ke peringkat terakhir apabila sperma suami dimasukkan ke dalam ovari, saya mengalami komplikasi yang teruk mengakibatkan darah beku di dalam badan dan perut saya membengkak seperti orang mengandung.

Saya juga mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke hospital selama dua minggu. Alhamdulillah, saya masih selamat kerana menurut doktor, saya mengalami PCOS peringkat akhir dan hampir meragut nyawa saya.


Selepas itu, saya berhenti sementara melakukan sebarang rawatan untuk memberi ketenangan kepada diri sehinggalah pada awal tahun ini, saya berjumpa doktor di hospital lain dan menceritakan apa yang berlaku sebelum ini. Tetapi dia memberitahu saya tidak boleh melakukan apa-apa rawatan kesuburan sebelum saya melakukan ovarian drilling dan kosnya amat mahal iaitu mencecah RM7,000.

Adakah cara lain yang dapat saya lakukan untuk meneruskan hasrat menimang cahaya mata selain rawatan terbabit? Adakah jika saya melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF), komplikasi berkenaan akan tetap berlaku? Apakah pandangan doktor dalam hal ini?

NORA,
Kota Damansara, Selangor




TERDAPAT salah faham mengenai penyakit yang anda alami.

Anda mengalami ovarian hyper-stimulation syndrome (OHSS) sewaktu menjalani rawatan kesuburan pada 2008 itu, bukannya PCOS. OHSS boleh berlaku kepada mana-mana wanita yang mengambil ubat kesuburan, terutama wanita yang mempunyai PCOS terutama dengan berat badan yang kurang.

Mengikut pengiraan, dengan ketinggian anda, mempunyai berat badan sedemikian dikategorikan sebagai ‘berat badan kurang’. OHSS juga dijangka bertambah teruk dengan pengambilan suntikan hCG (hormon pencetus ovulasi) yang lazimnya diberikan apabila saiz kantung atau folikel telur didapati sudah matang dan bersedia untuk diovulasi.

Selain itu, OHSS juga menjadi lebih teruk apabila wanita itu kemudian hamil, lebih-lebih lagi kehamilan kembar. Bagaimanapun, secara realitinya sukar untuk menjangka siapa yang akan mendapat OHSS, yang lebih penting adalah untuk mengenali bila OHSS mula berlaku supaya tindakan selanjutnya dapat diambil
bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.

Ini termasuk membatalkan kitaran rawatan terbabit, menghentikan ubat kesuburan, tidak memberikan suntikan hCG serta memberi bantuan perubatan bagi mengelakkan kejadian darah beku serta embolisma pulmonari.

Dengan penyataan anda sudah menjalani pemeriksaan awal dan didapati normal, doktor mungkin tidak menyangka anda mempunyai PCOS dan ini hanya diketahui apabila anda berjumpa doktor kedua.

Menerusi sejarah pernah mengalami OHSS teruk dan dengan berat badan anda kini, risiko anda untuk mengalami OHSS pada masa akan datang juga lebih tinggi berbanding wanita lain. Tiada cara untuk mengelakkan OHSS kecuali dengan tidak mengambil ubat kesuburan.

Sekiranya anda mempunyai masalah ovulasi, doktor akan mengurangkan dos ubat kesuburan kepada sekurang-kurangnya separuh saja daripada dos dahulu bagi mengurang–kan risiko OHSS berulang. Anda tidak memberitahu jenis dan dos ubat kesuburan yang anda ambil dahulu.

Sebelum berbincang mengenai jenis rawatan yang sesuai untuk anda kini, anda perlu memberitahu jenis rawatan atau ubat kesuburan yang anda pernah ambil dahulu.

Pembedahan ovarian drilling dapat mengurangkan bilangan cyst ovari yang anda alami, namun risiko OHSS masih boleh berlaku dengan pengambilan ubat kesuburan jika tidak dipantau teliti.

Kelebihan IVF adalah ia dapat mengeluarkan sebahagian besar (atau kesemua) telur matang daripada dalam tubuh anda untuk disenyawakan di makmal bersama-sama sperma suami. Dalam rawatan IUI, sekiranya bilangan kantung atau folikel terlalu banyak, doktor mungkin akan menasihatkan anda bertukar kepada IVF bagi menyedut keluar telur terbabit.

Bagaimanapun, perkara asasnya tetap sama. Langkah pertama yang sangat penting adalah menentukan jenis ubat dan dos yang paling rendah atau selamat bagi anda. Jika tidak, OHSS boleh berlaku, malah rawatan terpaksa dihentikan separuh jalan dan embrio terpaksa dibekukan.

Sekiranya anda sebenarnya tidak mempunyai masalah ovulasi, IUI atau IVF boleh dilakukan tanpa menjalani pembedahan mahupun mengambil ubat kesuburan, cuma peluang kehamilan tanpa ubat kesuburan adalah lebih rendah kerana ia bergantung kepada satu telur saja.

Buat permulaan, anda digalakkan menambah pengambilan makanan berkhasiat bagi meningkatkan berat badan anda. Mungkin anda ingin mendapatkan nasihat pakar dietetik. Berat badan yang berkurangan juga boleh mengganggu ovulasi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget