Tuesday, October 4, 2011

Mengandung lagi selepas sembilan bulan bersalin operate

SAYA berusia 27 tahun dan mempunyai tiga anak. Untuk pengetahuan puan, saya bersalin secara pembedahan untuk kelahiran anak pertama, begitu juga dengan kelahiran anak kedua disebabkan bayi kedua dan ketiga kembar. Jarak kehamilan pertama dan kedua adalah tiga tahun.
Kini saya hamil lagi tetapi baru sembilan bulan selepas saya bersalin anak kedua dan ketiga itu. Masalah yang saya hadapi adalah saya takut kemungkinan risiko kerana saya baru saja bersalin secara pembedahan. Apakah saranan untuk saya menempuh saat kehamilan ini?
NUR,
Putrajaya.

PERSOALAN penting ini sepatutnya diajukan dari waktu anda menjalani pemeriksaan antenatal kehamilan kedua sehingga sejurus selepas bersalin.

Malah, sewaktu lawatan post-natal dan sebelum memulakan hubungan kelamin, anda dan suami sepatutnya sudah membuat pilihan kaedah menjarakkan kehamilan yang berkesan.

Persediaan kini adalah untuk menghadapi kemungkinan risiko yang meningkat sebanyak dua hingga empat kali ganda berbanding ibu yang baru saja sekali menjalani pembedahan Caesarean.

Risiko yang dimaksudkan adalah keadaan rahim koyak kerana tidak tegar lagi untuk menahan kekuatan kontraksi. Kontraksi ini pula tidak semestinya kontraksi bersalin malah sebelum itu lagi. Ini boleh menyebabkan pendarahan dalaman sehingga membahayakan nyawa anda dan kandungan.

Anda disarankan menjalani pemeriksaan kehamilan bersama doktor di hospital di mana anda bersalin dahulu. Paling kurang, dapatkan laporan pembedahan kedua dan sebaiknya laporan pembedahan pertama juga.

Mulakan pengambilan suplemen vitamin antenatal dan pil zat besi agar kesihatan am anda berada pada tahap optimum.

Begitu juga dengan pilihan makanan agar mengikuti komposisi keperluan ibu hamil. Ujian darah antenatal dapat memberitahu tahap hemoglobin darah anda serta mengesahkan kumpulan darah anda.

Anda juga dinasihatkan mengikuti temu janji lawatan antenatal yang dijadualkan serta memilih untuk bersalin di hospital yang mempunyai kemudahan bekalan darah, pembedahan kecemasan serta kelengkapan unit rawatan rapi untuk dewasa dan bayi baru lahir.

Dengan kelahiran kali ketiga secara pembedahan Caesarean, lazimnya doktor akan menasihatkan anda untuk tidak hamil lagi dan mencadangkan kaedah sama ada mengikat salur peranakan (tiub fallopio) atau kaedah lain misalnya kaedah implan yang juga sama berkesan tetapi memerlukan penukaran setiap tempoh tertentu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share it