Tuesday, October 4, 2011

Perlukah berpantang lepas pembedahan?

SAYA berusia 27 tahun, sudah berkahwin lebih setahun dan beberapa minggu lalu, menjalani pembedahan kerana kandungan di luar rahim.
Kini saya dalam keadaan baik dan tiada kesakitan di tempat yang dibedah itu.
Saya ingin tahu sama ada perlu berpantang seperti orang bersalin. Jika benar, berapakah lama tempoh terbabit? Adakah selamat jika saya melakukan hubungan dengan suami dalam keadaan begini?

HUMAIRA,
Kuala Lumpur.

ISTILAH berpantang dalam dunia perubatan moden lebih merujuk kepada amalan merangsang pemulihan dan mengelak komplikasi berkaitan seperti jangkitan kuman yang menyebabkan demam (sering disebut bentan), kekurangan darah akibat pendarahan berpanjangan dan seumpamanya.

Kandungan luar rahim dikenali sebagai kehamilan ektopik. Sekiranya kehamilan ektopik anda belum ‘pecah’, saya jangkakan tidak banyak berlaku kehilangan darah.

Dengan semakin ramai doktor yang mahir melakukan pembedahan kehamilan ektopik secara teropong (laparoskopi), seseorang juga dijangka pulih lebih cepat, malah mungkin dibenarkan pulang ke rumah keesokan harinya.

Doktor juga lazimnya membekalkan ubat antibiotik berserta ubat penahan sakit. Selain itu, ia juga bergantung kepada keadaan kesihatan am anda sebelum kehamilan ektopik berlaku.

Pada usia anda, saya juga menjangka tahap kesihatan anda optimum, itulah sebabnya anda cepat pulih kini. Tiada halangan untuk anda melakukan hubungan seks, namun eloklah anda mendapatkan kepastian daripada doktor anda sendiri.

Bagaimanapun terdapat beberapa perkara penting:



  • Sekiranya anda lewat didatangi haid, anda dinasihatkan melakukan ujian pengesahan kehamilan secara ujian air kencing. Jika didapati hamil atau jika kurang pasti, segeralah berjumpa doktor untuk pengesahan dan imbasan ultrabunyi bagi mengesan lokasi kandungan.

    Ini kerana dikhuatiri kehamilan ektopik akan berulang. Mereka yang pernah mengalami kehamilan ektopik meningkatkan risiko untuk mengalaminya lagi.
  • Mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan dalaman pelvis anda yang dapat dinilai sewaktu pembedahan terbabit. Ini termasuk keadaan kedua-dua tiub fallopio, lokasi kehamilan ektopik terbabit, wujud penyakit berkaitan seperti endometriosis atau PID, jenis prosedur yang dilakukan dan seumpamanya.

  • HMetro

    No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
    There was an error in this gadget