Thursday, March 6, 2014

Kurang ilmu punca gagal di malam pertama

Dang Setia
Doktor Sakit Tuan
Dr. Ismail Thamby
 
Saya mendirikan rumah tangga tujuh bulan lalu. Saya berusia 29 tahun dan suami 32 tahun. Sehingga kini kami tidak pernah melakukan hubungan kelamin.
Pernah beberapa kali kami cuba tetapi alat sulit suami tidak menegang ketika hendak memasuki faraj.  
Saya pelik kerana dalam keadaan biasa, alat sulit suami mampu menegang (walaupun tidak tahan lama), tetapi apabila hendak memasukkan ke dalam faraj, ia terus kendur. Saya risau suami mengalami masalah mati pucuk.


LAILA
Shah Alam


Istilah mati pucuk malam pertama digunakan apabila lelaki tidak dapat mencapai ereksi atau mengekalkannya dalam keadaan padat untuk melakukan seks penetratif.

Istilah mati putik malam pertama menggambarkan kegagalan isteri membuka jalan atau melegakan pembukaan faraj atau bekerjasama dengan suami menghalakan ereksi padat ke dalam faraj dan melegakan ruang itu supaya suami dapat melakukan penusukan.

Saya membicarakan perkara itu dalam buku kecil bertajuk Adab Malam Pengantin keluaran Telaga Biru. Pada pendapat saya, pasangan mempelai yang mahu mendirikan rumah tangga wajib terdedah kepada aspek fizikal hubungan intim suami isteri, cara serta gaya menjayakan seks penetratif.

Jika tiada pendedahan mengenai aspek ini, suami isteri akan kurang yakin untuk melakukannya dan tidak dapat memberi kerjasama untuk menjayakannya.

Mungkin dalam tidak sedar, anda tidak memberi kerjasama kepada suami seperti menghalakan ereksi ke pembukaan faraj, menolakkan hujung zakar ke dalam faraj sambil melegakan pembukaan dan mengembangkan ruangnya. Suami pula perlu menolakkan ereksinya ke dalam faraj dengan mengemut sambil menolak masuk.

Semua aktiviti ini boleh dilakukan serentak dan cepat. Bagi lelaki, jika gagal melakukan tusukan kali pertama, mereka rasa kurang yakin untuk mengulangi lagi kerana takut gagal.

Bagaimanapun, mereka boleh mencapai ereksi pagi dan mudah teruja seksual ketika berfantasi seksual atau terdedah dengan bahan erotika.

Saya cadangkan anda dan pasangan berjumpa doktor untuk mendapat bimbingan mengenai hubungan seksual. Ada kala suami memerlukan rawatan dengan ubat pelancar darah untuk melancarkan darah dalam otot zakar supaya dapat mencapai ereksi lebih mantap dan kekal ketika teruja seksual bersama anda.

Saya boleh dihubungi melalui e-mel dr_tambi@yahoo.com.  


Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02 

/myMetro/ 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget